Home »

Assalammualaikum dan salam sejahtera

Assalammualaikum dan salam sejahtera

Sep 3, 2017

Panduan mandikan bayi

TIPS dan PANDUAN untuk memandikan bayi seperti berikut:-


WAKTU YANG TEPAT
Pilih waktu yang tepat bagi memandikan bayi di mana tiada sebarang gangguan pada waktu tersebut. Jangan sesekali meninggalkan bayi anda walau untuk beberapa detik sekalipun. Jika ada perkara yang mengganggu dan memerlukan anda meninggalkan ruangan mandi, selimutkan bayi dengan tuala dan bawa bersama bayi anda.

SIAPKAN RUANGAN
Sediakan ruang yang bersih, permukaan yang rata dan stabil, seperti meja, dimana anda merasa selesa untuk memandikan bayi.

SUHU AIR
Suhu air adalah aspek penting dalam memberi keselesaan kepada bayi. Sebaiknya air janganlah terlalu panas dan terlalu sejuk. Campuran air panas akan memberikan suhu air yang suam bagi mandian bayi.

Cara untuk menguji suhu air : Uji dengan menggunakan siku ibu. Ini penting bagi mengelakkan berlaku kelecuran kepada bayi. Jangan sesekali mencampurkan air panas semasa bayi telah berada di dalam air.

Sebaiknya air hendaklah di paras menutupi bahu bayi semasa dimandikan. Gunakan sabun khusus bayi yang lembut dengan pH seimbang, yang sesuai untuk kulit bayi.

MENANGGALKAN PAKAIAN BAYI
Tanggalkan pakaian bayi dengan hati-hati dengan menahan leher dan kepala bayi dengan lembut.

TAKSIR KEBERSIHAN BAYI
Memeriksa samaada terdapat najis atau tidak bagi tujuan ‘Prarekuisit’ sebelum melakukan prosedur memandikan bayi. Pastikan punggung bayi dibersihkan terlebih dahulu.

LANGKAH SEBELUM MEMANDIKAN BAYI :
  • Mencuci tangan dengan bersih bagi meminimumkan mikroorganisma dan mencegah berlakunya jangkitan silang.
  • Memerah kapas atau swab yang disediakan bagi tujuan mencuci muka bayi. Cuci muka bayi mengikut turutan menggunakan satu sapuan, satu kapas.
  • Mulakan cucian dari mata kanan bayi.
  • Cuci dari dalam ke luar.
  • Ulang langkah di atas bagi mata yang sebelah lagi.
  • Cuci dahi dari atas ke tepi hidung kanan dan pipi hingga ke belakang telinga.
  • Ulang langkah sama untuk dahi sebelah kiri.
  • Cuci hidung dari atas ke bawah dan sekeliling mulut hingga ke dagu.
  • Ulang langkah yang sama untuk hidung sebelah lagi.
  • Cuci sekeliling mulut.
  • Angkat bayi dengan kemas menggunakan posisi ‘Footbal Hold’ menggunakan kedua-dua tangan. Football hold dipraktikkan dengan cara:
    • Ampu kepala bayi dengan tapak tangan sambil mengepit bayi di antara badan dengan lengan atas tangan tidak dominan.
    • Tangan yang dominan (biasa) memegang aksilla (ketiak) bayi dan tangan sebelah lagi mengampu bahagian belakang bayi.
    • Sila google posisi 'Football Hold'
CARA MEMANDIKAN BAYI YANG BIASA JURURAWAT PRAKTIKKAN DI WAD POSTNATAL
  • Tutup kedua-dua telinga bayi dengan ibu jari dan jari telunjuk
  • Cuci rambut bayi secara perlahan-lahan dengan gerakan bulatan menggunakan syampu.
  • Bilas rambut bayi dengan bersih menggunakan tangan dominan.
  • Keringkan kepala dan rambut perlahan-lahan.
  • Mulakan mandian badan bayi:
    • Masukkan bayi ke dalam besen dengan kepalanya terletak di atas lengan tangan yang tidak dominan.
    • Pegang bayi dengan kemas secara meletakkan tangan yang tidak dominan di bawah aksilla bayi yang jauh dari anda.
    • Sabun kedua-dua tangan dan bilas bersih.
    • Sabun bahagian depan badan, celah peha, dan kedua kaki kemudian bilas bersih.
    • Tiarap bayi secara perlahan di atas lengan tangan yang tidak dominan dengan selamat sambil memegang aksilla bayi.
    • Sabun belakang bayi dan bilas dengan air sehingga bersih.
    • Keluarkan bayi dari besen.
    • Letak bayi di atas tuala mandi. Keringkan bayi bagi mencegah hipotermia.
  • Teruskan cucian tali pusat:
    • Cuci tali pusat bayi menggunakan satu kapas untuk satu sapuan mengikut turutan berikut:
    • Pangkal tali pusat yang terpotong secara sirkular (bulatan).
    • Kiri tali pusat secara memanjang.
    • Kanan tali pusat secara memanjang.
    • Depan tali pusat secara memanjang.
    • Belakang tali pusat secara memanjang.
    • Sekeliling klam tali pusat (bahagian atas) dari kiri ke kanan.
    • Sekeliling tali pusat (bahagian bawah) dari kiri ke kanan
    • Dasar pusat secara sirkular. (Cucian adalah mengikut turutan perlu diikuti kerana pangkal tali pusat bayi baru lahir adalah lebih bersih berbanding dengan dasar pusat)
  • Dedahkan tali pusat. Ia dapat mempercepatkan penyembuhan melalui pengeringan dan pengecutan tali pusat bayi.
  • Tali pusat yang dibiarkan terdedah kepada udara akan mempercepatkan pengeringan dan penyembuhan.
(Manual Jagaan Perinatal (Jagaan Neonatal) KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2002)
  • Posisikan tali pusat menghala ke bahagian atas abdomen bayi bagi mengelakkan pencemaran daripada urin dan najis bayi.
  • Cuci tali pusat cukup dengan menggunakan air bersih sahaja atau antiseptik yang dibekalkan oleh pihak hospital.
  • Jangan meletak sebarang benda asing pada pusat bayi contoh bedak, minyak, kopi, celak dan lain-lain.
  • Sikat rambut bayi.
  • Sebelum memakaikan pakaian, luangkan sedikit masa memberi urutan kepada bayi. Bayi sangat sukakan kepada urutan. Selain dapat memupuk kemesraan, ia juga dapat memberikan ketenangan kepada bayi.
  • Gunakan losyen pelembap yang sesuai atau minyak telon bagi melakukan urutan bayi.
  • Pakaikan pakaian bayi
PERINGATAN
  • Bayi yang baru lahir seeloknya TIDAK dimandikan terlalu lama. Cukup sekadar 3-5 minit sahaja.
  • Seeloknya bayi dimandikan 2 kali sehari.
  • Jadikan rutin memandikan bayi pada waktu dan masa yang sama setiap hari kerana ia dapat memberikan isyarat kepada bayi untuk mengetahui waktu tidurnya selepas waktu tersebut.
  • SEKIRANYA anda masih belum berani memandikan bayi di dalam tab mandi, gunakan span atau kain lembut sebagai pengelap badan bayi sehingga bersih.
Walaupun memandikan bayi adalah kedengaran tidaklah serumit mana, namun ia adalah satu cabaran besar buat ‘first time mother’ apatah lagi melakukan dengan luka bersalin yang masih berbisa. Walaupun pada mulanya anda agak teragak-agak, namun selepas beberapa cubaan anda pasti akan dapat melakukannya dengan tenang. Yang paling penting adalah mengutamakan langkah-langkah keselamatan.

Kredit: Kelab IBu Hamil Berpantang dan Menyusui Bayi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...