Sep 19, 2014

Pre Order




Alhamdulillah,

Sempena hari gaji yang akan menjelang tiba, bykamilia sudah membuka pre-order untuk sebarang produk.

Terima kasih kerana membeli dengan saya.

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Bank susu

Kerajaan berpegang kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu membabitkan program Bank Susu yang kini terbantut kerana isu pertalian antara wanita dan bayi yang meminum susunya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, apa sahaja isu yang timbul atau berbangkit, ia akan dirujuk kepada majlis tersebut.

"Kita tengok nanti kepada fatwa dan apa-apa hal kita merujuk kepada fatwa dahulu," katanya kepada sidang akhbar selepas majlis Multaqa Guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Takmir dan Imam-imam Rawatib peringkat negeri di sini hari ini.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan dilaporkan memutuskan bahawa bayi yang menghisap susu orang lain dan sebagainya, dengan syarat susu itu masuk melalui mulut, bayi tersebut menjadi anak susuan kepada pemilik susu.

Bagaimanapun, kelmarin Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, perlaksanaan program Bank Susu bagi menyimpan bekalan susu badan untuk menyelamatkan bayi pramatang tidak bersalahan dengan hukum Islam, malah ia juga tidak menjadikan bayi yang menerima susu itu sebagai anak atau 'mahram' penderma.

Jelasnya, konsep ibu dan anak susuan memerlukan kepada 'rada'ah' iaitu penyusuan secara langsung daripada payu dara wanita kepada bayi sebagaimana disebut dalam nas al-Quran dan hadis.

Justeru, Juanda menegaskan, pengambilan susu melalui botol atau mana-mana kaedah lain tidak akan menjadikan wanita dan bayi tersebut mempunyai pertalian disisi syarak yang boleh menimbulkan masalah dan kekeliruan jika konsep Bank Susu dilaksanakan.

Dalam pada itu, Jamil berkata, bagi menangani masalah sebahagian guru KAFA di negeri ini yang dikatakan tidak memiliki kemampuan mengajar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperkasakan lagi latihan kepada guru-guru terbabit.

"Mungkin kaedah pendidikan perlu diperkemaskan dan ini memerlukan kepada pendekatan yang lebih baik daripada JAKIM sebagai penggerak utama membimbing guru KAFA,"ujarnya

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, Jumaat, 21 Oktober 2011

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Sep 18, 2014

Tips bantu anak bercakap

Keupayaan bercakap sebenarnya berkait rapat dengan empat peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak.


Peringkat pertama - bermula dengan kemahiran fonologi iaitu seseorang kanak-kanak belajar mengeluarkan bunyi dan memahami bunyi-bunyi bahasa pertuturan. Pada peringkat ini, jika seseorang kanak-kanak menghadapi masalah pendengaran seperti jangkitan pada gegendang telinga atau masalah berkaitan “hearing block” yang biasanya berlaku dalam tempoh dua atau tiga tahun pertama kelahiran, pastinya kanak-kanak ini akan menghadapi masalah pertuturan jika tidak di kenal pasti dari awal. Begitu juga bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah ‘oral-motor’ iaitu kesukaran menggunakan lidah, bibir dan dagu untuk mengeluarkan perkataan; atau kanak-kanak yang di kenal pasti mempunyai masalah autisma. Dalam konteks ini, pengesanan awal adalah suatu yang amat kritikal agar kanak-kanak dapat dirujuk segera kepada pakar kesihatan dan dilakukan intervensi terhadapnya.

Namun begitu, ada juga logiknya seseorang kanak-kanak itu lambat bercakap kerana asyik menggonggong botol atau puting di bibirnya sehingga dia kurang berpeluang menggerakkan bibir mengikut bunyi yang didengar!

Peringkat kedua - ialah kemahiran semantik iaitu keupayaan kanak-kanak memahami perkataan dan menguasai perbendaharaan kata. Jika di peringkat ini kanak-kanak tidak didedahkan kepada pelbagai perbendaharaan kata atau perbendaharaan kata yang dipelajarinya adalah dalam bentuk ‘bahasa rojak’ yang mengelirukan, serta tidak berpeluang berkomunikasi dengan orang di sekitarnya, sudah pastinya dia akan menghadapi kesukaran untuk bercakap bila dia didedahkan kepada dunia luar yang lebih luas ruang lingkupnya.

Peringkat ketiga - ialah keupayaan kanak-kanak belajar cara mencantum dan menyusun perkataan menjadi ayat yang betul dari segi tatabahasa. Di peringkat ini, sokongan dari aspek emosi amat diperlukan. Jika pada peringkat ini, kanak-kanak sering dimarah kerana “buat bising”, atau disergah kerana bercakap apa saja perkara yang didengarinya (walaupun tanpa memahaminya), keyakinan dirinya akan runtuh. Begitu juga jika kanak-kanak ini dalam kategori berisiko tinggi seperti tidak cukup zat makanan, tekanan emosi yang keterlaluan, penderaan dan sebagainya akan menyebabkan proses belajar untuk bercakap terganggu.

Peringkat keempat - Paling kompleks iaitu perkembangan pragmatik yang membabitkan peraturan menggunakan bahasa dalam konteks sosio yang berbeza atau tujuan yang pelbagai. Ini termasuklah kebolehan untuk membezakan bagaimana bercakap dan bertingkah laku terhadap rakan perbualan yang berbeza, kebolehan mengekalkan tajuk perbualan dan kebolehan mengekalkan eye-contact yang sesuai (bukan merenung, atau melihat ke tempat lain) ketika perbualan. Peringkat yang keempat ini, berkembang selari dengan perkembangan intelek kanak-kanak dan berkait dengan keupayaannya untuk berfikir mengenai apa yang diperkata atau dilakukan. Jika puan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap anak dan mengenal pasti faktor dan peringkat perkembangan bahasa anak puan dengan kasih sayang dan kelembutan.
  • Apabila bercakap dengan anak, sentuhlah dia, serta pandang tepat ke wajah/matanya; gunakan ayat yang pendek dan mudah. 
  • Apabila mahu menerangkan sesuatu kepada anak, pastikan ada ruang (pause) antara satu ayat dengan yang lain supaya anak anda mendapat peluang untuk memberi maklum atau tindak balas.
  • Gunakan mimik muka yang bersesuaian untuk menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat.
  • Selalu membacakan buku untuk anak dan meluangkan masa bercerita kepada anak atau menyanyi bersamanya.
  • Dedahkan anak kepada interaksi sosial kerana dengan cara ini ibu bapa memberi peluang kepada anak mendengar perbualan di samping berjumpa dengan orang yang baru dikenali.
  • Banyak aktiviti seharian dapat digunakan untuk membantu anak bercakap dan mengembangkan keupayaannya menggunakan bahasa antaranya mengemukakan soalan, mengemukakan arahan, mempelajari perkataan-perkataan baru dan bercakap-cakap dengannya. 
  • Cuba menjadi pendengar yang baik dengan berusaha menumpukan perhatian dan cuba memahami apa yang disampaikan si anak. 
  • Jika apa yang diucapkannya tidak jelas seperti pelat, jangan sesekali mengulangi sebutannya; sebaliknya bantu anak dengan menyebut perkataan yang tepat sebutannya yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebut anak 
  • Pelajari gerakan lidah dan bibir. Penggunaan cermin boleh membantu. 

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Sep 16, 2014

Bagaimana membaca label pada produk makanan

Beberapa nasihat praktikal untuk diikuti ketika membaca label pada produk makanan:-
  1. Jangan beli makanan hanya kerana anda sukakan pembungkusannya. Sebagai ibu bapa prihatin, sentiasa bandingkan produk dengan membaca panel maklumat makanan.
  2. Apabila membandingkan kandungan nutrisi, anda boleh tahu yang mana satu mempunyai kadar nutrien lebih tinggi atau rendah.
  3. Buat perbandingan berdasarkan jumlah nutrien yang terkandung dalam setiap 100 gram atau 100 mililiter produk terbabit. Saiz hidangan mungkin tidak sesuai untuk dijadikan perbandingan kerana ia mungkin berbeza antara jenama.
  4. Untuk tambahan, jangan buat pemilihan untuk membeli jenama tertentu berdasarkan satu nutrien saja (contohnya jumlah tenaga atau kandungan lemak), tetapi pertimbangkan juga nutrien lain (seperti protein atau kalsium) yang dipaparkan pada panel maklumat nutrisi.
  5. Jika anda memerlukan maklumat lanjut mengenai panduan menggunakan label maklumat pemakanan, orang paling sesuai untuk memberi nasihat ialah pakar nutrisi atau pakar diet.

Sebenarnya, ibu bapa mempunyai peranan penting dalam memenuhi keperluan pemakanan anak kecil:
  1. Tabiat pemakanan sihat di kalangan kanak-kanak bermula daripada rumah.
  2. Ibu bapa perlu memupuk tabiat makan sihat pada tahun awal perkembangan anak mereka.
  3. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan dalam pengambilan makanan sihat dan seimbang.
  4. Ibu bapa perlu memperkasakan pengetahuan mereka bagi memahami piramid makanan dan mengamalkan seperti yang dicadangkan untuk keluarga.
  5. Mereka juga perlu pantau berat dan tinggi dan indeks jisim tubuh (BMI) anak mereka setiap enam bulan.
Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Kedudukan penyusuan yang betul

Langkah berikut ini menerangkan cara memegang bayi dengan betul supaya ia dapat menghisap susu dengan banyak dan mengelakkan puting dari kesakitan.

1. Betulkan kedudukan anda. 
Adalah lebih mudah jika anda dapat duduk untuk memulakan penyusuan. Duduklah di atas katil, kerusi menyandar yang selesa atau kerusi goyang. Gunakan bantal untuk mengampu belakang anda, di bawah siku dan di atas peha untuk menyokong bayi. Lapikkan dengan bantal atau kusyen yang lembut untuk meninggikan sedikit lutut anda. Anda perlu bertenang dan relaks tanpa menegangkan mana-mana otot.

2. Betulkan kedudukan bayi. 
Bayi seharusnya baring mengiring menghala ke badan anda. Kepalanya hendaklah diletak dalam pelukan anda manakala belakangnya diampu dengan lengan dan pegang punggung atau paha atasnya dengan tangan anda. Kepala, bahu dan pinggang hendaklah diluruskan. Bayi harus dipegang di paras payu dara untuk membolehkan anda membongkok sedikit dan tidak menyukarkan bayi untuk mencapai puting anda. Meletakkan bantal di atas riba anda akan mengurangkan masalah ini.

3. Hulurkan payu dara anda kepada bayi. 
Genggam payu dara anda dengan tangan dan diampu oleh jari-jari anda di bahagian bawahnya dan ibu jari di atas. Ibu jari dan jari telunjuk anda sepatutnya membentuk seperti huruf 'C'. Pastikan jari-jari anda jauh dari areola.

4. Galakkan bayi anda melekap dengan betul.
Sentuhkan puting ke bibir bayi beberapa kali. Jika bayi berpaling ke arah lain, cuitkan pipinya yang dekat dengan anda perlahan-lahan. Bila ia memandang ke arah anda, sentuhkan bibirnya semula dengan puting sambil bercakap-cakap dan menggalakkan bayi membuka mulutnya. Apabila mulutnya terbuka, cepat-cepat ajukan puting ke tengah mulutnya dan rapatkan badannya ke badan anda. Adalah penting untuk anda menarik bayi rapat kepada anda dan bukan sebaliknya. Anda perlu melakukan percubaan ini beberapa kali sehinggalah reaksi bayi bersesuaian dengan tindakan anda untuk memastikan proses pelekapan ini berjalan lancar. Jika bayi gagal menyusu dengan betul, anda mungkin terpaksa berhenti dan memujuknya sebelum mencuba sekali lagi.

5. Teknik hisapan yang berkesan. 
Untuk menghisap dengan berkesan, bayi perlu memasukkan sebahagian besar dari areola dan puting ke dalam mulutnya. Rerongga susu yang perlu diperah/ditekan untuk mengeluarkan susu terletak di bawah areola. Gusi bayi sepatutnya melepasi puting sejauh satu inci ke bahagian areola. Pastikan puting terletak di tengah-tengah mulut bayi dan di atas lidahnya. Bayi hendaklah dirapatkan ke badan anda sehingga hujung hidungnya menyentuh payu dara anda. Jika hidungnya terhalang oleh payu dara untuk bernafas, perbetulkannya dengan mengangkat payu dara anda sedikit atau menarik bayi lebih rapat ke badan anda.

6. Kesakitan puting. Jika bayi melekap dan menghisap dengan betul anda tidak sepatutnya terasa sakit. Jika bayi tidak menghisap dengan betul atau anda terasa sakit, penyusuan perlu dihentikan sekejap. Kemudian mulakannya semula. Masukkan jari anda ke dalam mulut bayi (di sisi yang menekan payu dara) untuk menghentikan hisapan atau menarik pipi bayi dengan lembut. Jangan biarkan bayi terus menghisap dengan cara yang salah kerana ini akan menyebabkan puting anda membengkak dan corak hisapan yang tidak betul ini menjadi sukar untuk diperbetulkan kemudian nanti. Jika puting masih terus membengkak dan sakit, kemungkinan ia disebabkan oleh hal-hal berikut:-

o Jangan biarkan bayi menghisap puting anda, ini bukan cara yang betul. Pastikan bayi membuka mulutnya dengan luas supaya puting dapat masuk ke dalam mulutnya. Apabila bayi mencengkam terlalu kuat ketika hendak mula menghisap, tekan rahang bawahnya dengan jari sambil menolak turun dagunya. Minta bayi anda membuka mulutnya dengan suara yang jelas dan tegas.

o Jika puting anda masih sakit, tarikkan bibir bawah bayi semasa ia masih menghisap dan periksa sama ada lidahnya terletak di antara bibir bawah dengan payu dara anda ataupun tidak. Jika tidak dapat melihat lidahnya, bayi mungkin sedang menghisapnya bersama-sama puting anda. Lepaskan bayi dari penyusuan dan mulakan prosedur ini semula. Pastikan mulut bayi dibuka dengan luas dan lidahnya berada di bawah puting ketika melekap.


7. Cara menghisap dengan berkesan. 
Kebanyakan bayi mengetahui cara menghisap dengan betul sejak mereka dilahirkan. Sesetengah dari mereka yang lain mengambil masa untuk belajar dan memerlukan panduan tertentu seperti yang dinyatakan di atas. Ia memerlukan keselesaan dan kesabaran yang tinggi. Tetapi apabila bayi mula menghisap dengan penuh bertenaga, anda akan terasa puas apabila merenungnya. Ketika ini, otot-otot di mukanya akan bekerja lebih keras sehingga telinganya kelihatan bergerak-gerak. Anda dapat melihat kekuatan otot rahangnya dan dapat mendengar bunyi ia menelan. Apabila bayi telah kenyang, ia kembali tenang, dan hisapan diperlahankan, dan hanya menelan sedikit demi sedikit. Dia kelihatan sedang dilamun kenikmatan berada dalam pangkuan ibunya.

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Sep 15, 2014

Syarat anak dan ibu susuan


Bagaimanakah syarat menjadikan anak susuan itu mahram dengan ibu susuannya?

Rukun penyusuan dan syaratnya yang menyebabkan seorang anak itu disabitkan sebagai anak susuan dan menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukannya ada tiga perkara iaitu:-

1. Al-Murdhi' iaitu perempuan yang menyusukan. Disyaratkan orang yang menyusukan itu perempuan yang hidup dan telah mencapai usia sembilan tahun.

2. Ar-Radhi' iaitu anak yang disusukan. Disyaratkan anak itu hidup dan umurnya tidak melebihi dua tahun sekalipun lebihnya itu pada kadar sehari. Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun, maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan.

3. Al-Laban iaitu air susu perempuan. Disyaratkan air susu itu sampai masuk ke perut bayi yang disusukan sehingga ia boleh menyebabkan pertumbuhan badan anak tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Tidak menjadi mahram daripada susuan melainkan apa yang menumbuhkan daging dan menguatkan tulang" (Hadis riwayat Ahmad)

Disyaratkan juga had penyusuan itu tidak kurang daripada lima kali dalam waktu yang berasingan dengan kadar penyusuan mengikut kebiasaan. (Surah Al-Baqarah:233)

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Sep 14, 2014

50 cara merangsang hubungan selama menyusukan bayi - PART 1

  1. Mama kenalah ingat pada papa selalu. Bukan pada bayi baru sahaja.
  2. Papa pun janganlah biarkan mama jaga anak seorang diri. Tolonglah mama.
  3. Ketika mama bersama baby, papa kenalah turut serta. Tolong urut bahu mama. Barulah rasa tidak terpinggir.
  4. Luangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit sebelum tidur untuk saling bertukar-tukar cerita.
  5. Setelah ada anak, mama dan papa kena banyak bertenang. Barulah hati rasa tenang.
  6. kalau rasa tidak selesa dengan keadaan sekarang, beritahulah pada pasangan agar dia tahu dan sama-sama mencari jalan penyelesaian.
  7. Papa, ajaklah mama dating. Macam masa baru berkahwin dulu.
  8. Papa, tolonglah mama buat kerja rumah. Barulah mama ada masa untuk papa.
  9. Payudara ibu menyusukan selalunya membengkak. Jadi, berhati-hatilah kalau papa nak dekat dengan mama. Takut tersentuh, kesian mama, sakit!
  10. Papa dan mama, jangan lupa luangkan masa untuk bersama. Ingat, kualiti lebih baik dari kuantiti.
  11. Papa dan mama, mandilah bersama.
  12. Papa kenalah rajin memuji mama kerana ibu yang menyusukan selalu rasa mereka busuk dan tidak cantik.
  13. Kalau nak lagi romantik, berilah mama hadiah!
  14. Mama pula, berilah kad ucapan kepada papa. Tuliskan kata-kata romantik. Papa mesti rasa terharu.
  15. Apa kata kalau mama dan papa lakukan perkara-perkara yang baru dalam hidup. Barulah rasa tak bosan
Sambungan 50 cara merangsang hubungan selama menyusukan bayi Part II

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Untuk ibu menyusu lebih ceria!

Apakah perasaan ibu apabila anak kecilnya puas dengan susu badan yang mana terbaik untuknya. Walau secanggih mana pun susu formula dihasilkan dan walau semahal harga dan khasiat hebat susu formula, ia tetap tidak mampu menandingi kehebatan susu ibu.

Berusahalah untuk memberi susu yang terbaik untuk anak kita! Semak gaya penyusuan sama ada sudah memenuhi DEMAND vs SUPPLY. Kerapkan pengosongan payudara ibu untuk memudahkan penyusuan dijalankan.

Jika kurang susu jangan putus asa. Berusahalah ibu-ibu. Carilah makanan sunnah yang sememangnya membantu kita menyusu dengan lebih ceria dan bertenaga.

Dalam Qaseh adinda terkandung makanan sunnah. Hanya amalkan Insya-Allah. Jangan lupa amalkan bersama SOLE sekali. Itu pun banyak membantu!

Jangan tak tahu anak saya sendiri menikmati manfaatnya.



Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Penyusuan susu ibu di depan khalayak

1. YAKIN DIRI
Jangan ragu-ragu untuk melakukan penyusuan di depan khalayak. Fikirkan bahawa anda mahu memberikan yang terbaik untuk bayi.

2. FOKUS
Anda harus fokus kepada kebaikan semulajadi susu ibu. Perasaan malu dan tertekan akan memberi kesan kepada kelancaran pengaliran susu ibu.

3. LOKASI
Cari tempat yang tidak terlalu ramai orang untuk melakukan penyusuan. Ketika penyusuan, bayi inginkan suasana yang terang.

4. PAKAIAN KHUSUS
Sarungkan pakaian penyusuan dan gunakan poncho atau kain pendakap ketika menyusukan bayi.

5. BANTUAN
Jika tidak mempunyai kain atau pakaian penyusuanm suami atau pihak ketiga boleh menjadi 'dinding' sementara saat penyusuan. Surau atau bilik menukar pakaian adalah alternatif tempat penyusuan susu ibu.


Perkongsian ilmu tanpa batasan,
Ida Kamilia Mudzakir

Sep 12, 2014

Tips memberi nama anak

Tips memberi nama anak
Memberikan nama untuk anak itu sudah pasti sukar. Jika salah pilih mungkin akan menyusahkan anak itu nanti.

1. Nama itu mengandungi doa.
Pilih nama anak yang mempunyai unsur doa. Nama anak itu mencerminkan harapan ibu bapa.

2. Nama yang mudah disebut.
Nama anak mudah dibaca dan mudah ditulis. Jangan sehingga 8 suku kata. Dua suku kata adalah yang terbaik. Biasanya nama yang panjang akan dipendekkan. Contohnya Roslizawati akan dipanggil Ros.

3. Nama jangan terlalu panjang.
Nama yang panjang menyukarkan kepada anak itu untuk urusan rasmi misalnya ketika mengisi borang dan sebagainya. Malah sukar untuk diingati oleh kenalan baru.

4. Ketahui erti nama
Ketahuilah erti nama anak. Jangan memberikan nama hanya kerana sedap disebut atau cantik apabila ditulis namanya. Bimbang nama itu membawa erti kejahatan dan kemiskinan.

5. Jangan kebaratan.
Tonjolkan budaya tempatan pada nama anak. Banggalah menjadi umat Islam yang mempunyai identiti dan maksud yang indah.

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Tips anak kembung perut

Daun mengkudu

Morinda Tinctoria; Morinda citrifolia atau lebih dikenali dengan daun mengkudu boleh dijadikan jus untuk diminum.

Namun begitu, tahukah anda daun mengkudu juga AMAT SESUAI untuk digunakan ketika anak kembung perut terutama bayi yang baru lahir. Ini kerana, ketika awal-awal kelahiran, usus bayi masih belum matang. 

Saya memperolehi petua ini melalui ibu saya bila Ammar ada masalah kembung perut. Walaupun sudah dituam, sudah disapu minyak panas di bahagian ari-ari, betis dan kaki. Ammar masih lagi kembung.

Cara untuk mengurangkan kembung perut anak adalah buat selama tiga hari berturut-turut. Layurkan daun mengkudu tersebut di atas api. Untuk hari pertama sebanyak 7 helai, hari kedua 5 helai & dan hari ketiga daun mengkudu diletakkan sebanyak 3 helai. Letakkan daun tersebut di bahagian depan dan belakang badan bayi dan diikat dengan barut.


Insya-Allah. Kembung perut bayi akan berkurangan.

Perkongsian ilmu tanpa batasan,
Ida Kamilia Mudzakir

Sep 9, 2014

Tips ibubapa ketika anak-anak sedang menjawab soalan di dewan peperiksaan

Tips ibubapa ketika anak-anak sedang menjawab soalan di dewan peperiksaan

Ibu atau bapa di rumah pula lakukan amalan ini:
  1. Ambil wudhuk. 
  2. Mengadap kiblat. 
  3. Mengucap dua kalimah syahadah - 3 kali 
  4. Surah Al - Fatihah - 1 kali 
  5. Surah 3 Qul- 1 kali 
  6. Surah Insyirah - 1 kali 
  7. Selawat atas Nabi Muhammad saw - 10 kali 
  8. Baca Surah Yassin - 1 kali 
  9. Baca Surah Insyirah - 100 kali 
  10. Niat di dalam hati supaya Allah SWT permudahkan anak-anak kita menjawab soalan dengan mudah dan tenang. 
Semoga Allah swt permudahkan dan memberi ketenangan anak-anak syurga kita menjawab soalan peperiksaan. Insya-Alah.

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Malaysian Breastfeeding Peer Counselor

Berminat menyertai Malaysian Breastfeeding Peer Counselor (MBfPC)?


Bengkel ini akan dikendalikan oleh jurulatih dari Persatuan Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia (PIMM) yang akan melatih Pembimbing Ibu Menyusu (PIM) atau Peer Counselor (PC) dalam isu dan teknik penyusuan susu ibu.

Antara program sasaran di dalam projek ini adalah melebarkan perkhidmatan PIM/PC dalam kalangan masyarakat agar lebih ramai ibu-ibu dan keluarga yang menyusui anak mereka mendapat sokongan yang sewajarnya.

Justeru itu, penglibatan PIMM/MBFPC di dalam sebarang program kemasyarakatan adalah sangat diperlukan sebagai satu saluran hebahan tentang fungsi dan peranan PIM/PC terhadap masyarakat setempat.

Jom sertai program:

Bengkel MBfPC Southern Region 2014

Tarikh - 25 - 27 September 2014
Tempat - Iskandar Malaysia Information Centre (IMIC), Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru
Anjuran - Kelab Sokongan Penyusuan Susu Ibu Johor Bahru. Johor
Yuran:
RM220 ( Ahli KSPSIJB & Staff IRDA)
RM250 ( Awam)

Selewat-lewatnya pada 18 September 2014

Bayaran kepada:

Azwana Binti Hassan (CIMB 01200006917208)
Email: azwana7780@gmail.com

Hubungi :
Pn Azwana Mohd Hasan 01122207780
Pn Zulhaya Marzuki 0137652551

Sep 8, 2014

Kenapa perlu Iri Hati?


Mengapa perlu beriri hati?

Percaya tak ramai antara kita yang iri hati?
Maksud iri hati berasal dari perasaan tidak puas terhadap diri sendiri kerana melihat kesenangan orang lain.

Rasa iri hati boleh melanda sesiapa saja dan di mana saja, jika di masjid atau surau iri hati kerana orang lain lebih menonjol kepandaiannya, di tempat kerja ada yang iri hati pada rakan sekerja yang lebih berhasil danmenduduki jawatan yang lebih tinggi, di dalam keluarga ada yang iri hati kerana kakak atau adik lebih diperhatikan orang tua dan sebagainya. Macam-macam jenis ada perasaan iri hati ini!

Perlu kita sedari bahawa perasaan iri hati tidak membawa kebaikan bagi kita, malah iri hati tidak hanya merugikan orang lain, tetapi juga merugikan diri sendiri serta iri hati akan menyebabkan diri sendiri merana.

Mengapa perlu menyiksa diri andai iri hati tidak mendatangkan makna pada diri kita.

Orang yang iri hati akan rasa berdukacita atas kejayaan orang lain dan sebalikanya ia bersukacita atas kegagalan orang lain. Ia tidak suka bila ada orang lain lebih baik atau lebih sukses dari dirinya.

Orang yang iri hati juga cenderung kepada,suka membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain, akibatnya ia sendiri menjadi sangat tertekan dan kehilangan damai sejahtera pada dirinya sendiri.

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir

Sep 7, 2014

Lactational Amenorrhea Method

Kaedah menjarakkan kehamilan menggunakan penyusuan susu ibu dinamakan Lactational Amenorrhea Method (LAM) di mana penyusuan susu ibu sepenuhnya berupaya melambatkan kedatangan haid dan ovulasi secara semula jadi.

Walau bagaimanapun, kaedah ini adalah 98–99.5% efektif, sekiranya semua syarat di bawah dipatuhi:
  1. Haid ibu belum kembali.
  2. Bayi berumur kurang daripada enam bulan.
  3. Bayi menyusu secara eksklusif dengan kerap (siang dan malam).
  4. Bayi tidak mengambil sebarang makanan lain selain daripada susu ibunya selama enam bulan pertama.
Oleh itu, antara tip untuk memastikan keberkesanan keadah LAM ini, anda haruslah:
  •  Memastikan bayi sentiasa bersama atau berdekatan dengan ibu.
  • Menyusu dengan kerap tanpa had (siang dan malam). Untuk pengetahuan, penyusuan di waktu malam sangat penting kerana pada ketika itu hormon prolaktin adalah sangat tinggi. Hormon ini yang melambatkan ovulasi.
  • Menggunakan penyusuan sebagai cara untuk memujuk dan menenangkan bayi.
  • Menyusu sambil berbaring apabila berehat atau tidur.
  • Tidak menggunakan botol atau puting kosong.
Sekiranya haid ibu telah kembali atau bayi berumur lebih daripada enam bulan atau dia sudah diberi makanan tambahan (pada tahap umur ini, bayi seharusnya diperkenalkan dengan makanan tambahan dan tidak menyusu sepenuhnya), ibu dinasihatkan untuk menggunakan kaedah perancang keluarga yang lain.

Ini kerana selepas enam bulan, perlindungan penyusuan susu ibu terhadap kehamilan mula berkurangan.

Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...