1. Betulkan kedudukan anda.
Adalah lebih mudah jika anda dapat duduk untuk memulakan penyusuan. Duduklah di atas katil, kerusi menyandar yang selesa atau kerusi goyang. Gunakan bantal untuk mengampu belakang anda, di bawah siku dan di atas peha untuk menyokong bayi. Lapikkan dengan bantal atau kusyen yang lembut untuk meninggikan sedikit lutut anda. Anda perlu bertenang dan relaks tanpa menegangkan mana-mana otot.
2. Betulkan kedudukan bayi.
Bayi seharusnya baring mengiring menghala ke badan anda. Kepalanya hendaklah diletak dalam pelukan anda manakala belakangnya diampu dengan lengan dan pegang punggung atau paha atasnya dengan tangan anda. Kepala, bahu dan pinggang hendaklah diluruskan. Bayi harus dipegang di paras payu dara untuk membolehkan anda membongkok sedikit dan tidak menyukarkan bayi untuk mencapai puting anda. Meletakkan bantal di atas riba anda akan mengurangkan masalah ini.
3. Hulurkan payu dara anda kepada bayi.
Genggam payu dara anda dengan tangan dan diampu oleh jari-jari anda di bahagian bawahnya dan ibu jari di atas. Ibu jari dan jari telunjuk anda sepatutnya membentuk seperti huruf 'C'. Pastikan jari-jari anda jauh dari areola.
4. Galakkan bayi anda melekap dengan betul.
Sentuhkan puting ke bibir bayi beberapa kali. Jika bayi berpaling ke arah lain, cuitkan pipinya yang dekat dengan anda perlahan-lahan. Bila ia memandang ke arah anda, sentuhkan bibirnya semula dengan puting sambil bercakap-cakap dan menggalakkan bayi membuka mulutnya. Apabila mulutnya terbuka, cepat-cepat ajukan puting ke tengah mulutnya dan rapatkan badannya ke badan anda. Adalah penting untuk anda menarik bayi rapat kepada anda dan bukan sebaliknya. Anda perlu melakukan percubaan ini beberapa kali sehinggalah reaksi bayi bersesuaian dengan tindakan anda untuk memastikan proses pelekapan ini berjalan lancar. Jika bayi gagal menyusu dengan betul, anda mungkin terpaksa berhenti dan memujuknya sebelum mencuba sekali lagi.
5. Teknik hisapan yang berkesan.
Untuk menghisap dengan berkesan, bayi perlu memasukkan sebahagian besar dari areola dan puting ke dalam mulutnya. Rerongga susu yang perlu diperah/ditekan untuk mengeluarkan susu terletak di bawah areola. Gusi bayi sepatutnya melepasi puting sejauh satu inci ke bahagian areola. Pastikan puting terletak di tengah-tengah mulut bayi dan di atas lidahnya. Bayi hendaklah dirapatkan ke badan anda sehingga hujung hidungnya menyentuh payu dara anda. Jika hidungnya terhalang oleh payu dara untuk bernafas, perbetulkannya dengan mengangkat payu dara anda sedikit atau menarik bayi lebih rapat ke badan anda.
6. Kesakitan puting. Jika bayi melekap dan menghisap dengan betul anda tidak sepatutnya terasa sakit. Jika bayi tidak menghisap dengan betul atau anda terasa sakit, penyusuan perlu dihentikan sekejap. Kemudian mulakannya semula. Masukkan jari anda ke dalam mulut bayi (di sisi yang menekan payu dara) untuk menghentikan hisapan atau menarik pipi bayi dengan lembut. Jangan biarkan bayi terus menghisap dengan cara yang salah kerana ini akan menyebabkan puting anda membengkak dan corak hisapan yang tidak betul ini menjadi sukar untuk diperbetulkan kemudian nanti. Jika puting masih terus membengkak dan sakit, kemungkinan ia disebabkan oleh hal-hal berikut:-
o Jangan biarkan bayi menghisap puting anda, ini bukan cara yang betul. Pastikan bayi membuka mulutnya dengan luas supaya puting dapat masuk ke dalam mulutnya. Apabila bayi mencengkam terlalu kuat ketika hendak mula menghisap, tekan rahang bawahnya dengan jari sambil menolak turun dagunya. Minta bayi anda membuka mulutnya dengan suara yang jelas dan tegas.
o Jika puting anda masih sakit, tarikkan bibir bawah bayi semasa ia masih menghisap dan periksa sama ada lidahnya terletak di antara bibir bawah dengan payu dara anda ataupun tidak. Jika tidak dapat melihat lidahnya, bayi mungkin sedang menghisapnya bersama-sama puting anda. Lepaskan bayi dari penyusuan dan mulakan prosedur ini semula. Pastikan mulut bayi dibuka dengan luas dan lidahnya berada di bawah puting ketika melekap.
7. Cara menghisap dengan berkesan.
Kebanyakan bayi mengetahui cara menghisap dengan betul sejak mereka dilahirkan. Sesetengah dari mereka yang lain mengambil masa untuk belajar dan memerlukan panduan tertentu seperti yang dinyatakan di atas. Ia memerlukan keselesaan dan kesabaran yang tinggi. Tetapi apabila bayi mula menghisap dengan penuh bertenaga, anda akan terasa puas apabila merenungnya. Ketika ini, otot-otot di mukanya akan bekerja lebih keras sehingga telinganya kelihatan bergerak-gerak. Anda dapat melihat kekuatan otot rahangnya dan dapat mendengar bunyi ia menelan. Apabila bayi telah kenyang, ia kembali tenang, dan hisapan diperlahankan, dan hanya menelan sedikit demi sedikit. Dia kelihatan sedang dilamun kenikmatan berada dalam pangkuan ibunya.
Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir
No comments:
Post a Comment