Peringkat pertama - bermula dengan kemahiran fonologi iaitu seseorang kanak-kanak belajar mengeluarkan bunyi dan memahami bunyi-bunyi bahasa pertuturan. Pada peringkat ini, jika seseorang kanak-kanak menghadapi masalah pendengaran seperti jangkitan pada gegendang telinga atau masalah berkaitan “hearing block” yang biasanya berlaku dalam tempoh dua atau tiga tahun pertama kelahiran, pastinya kanak-kanak ini akan menghadapi masalah pertuturan jika tidak di kenal pasti dari awal. Begitu juga bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah ‘oral-motor’ iaitu kesukaran menggunakan lidah, bibir dan dagu untuk mengeluarkan perkataan; atau kanak-kanak yang di kenal pasti mempunyai masalah autisma. Dalam konteks ini, pengesanan awal adalah suatu yang amat kritikal agar kanak-kanak dapat dirujuk segera kepada pakar kesihatan dan dilakukan intervensi terhadapnya.
Namun begitu, ada juga logiknya seseorang kanak-kanak itu lambat bercakap kerana asyik menggonggong botol atau puting di bibirnya sehingga dia kurang berpeluang menggerakkan bibir mengikut bunyi yang didengar!
Peringkat kedua - ialah kemahiran semantik iaitu keupayaan kanak-kanak memahami perkataan dan menguasai perbendaharaan kata. Jika di peringkat ini kanak-kanak tidak didedahkan kepada pelbagai perbendaharaan kata atau perbendaharaan kata yang dipelajarinya adalah dalam bentuk ‘bahasa rojak’ yang mengelirukan, serta tidak berpeluang berkomunikasi dengan orang di sekitarnya, sudah pastinya dia akan menghadapi kesukaran untuk bercakap bila dia didedahkan kepada dunia luar yang lebih luas ruang lingkupnya.
Peringkat ketiga - ialah keupayaan kanak-kanak belajar cara mencantum dan menyusun perkataan menjadi ayat yang betul dari segi tatabahasa. Di peringkat ini, sokongan dari aspek emosi amat diperlukan. Jika pada peringkat ini, kanak-kanak sering dimarah kerana “buat bising”, atau disergah kerana bercakap apa saja perkara yang didengarinya (walaupun tanpa memahaminya), keyakinan dirinya akan runtuh. Begitu juga jika kanak-kanak ini dalam kategori berisiko tinggi seperti tidak cukup zat makanan, tekanan emosi yang keterlaluan, penderaan dan sebagainya akan menyebabkan proses belajar untuk bercakap terganggu.
Peringkat keempat - Paling kompleks iaitu perkembangan pragmatik yang membabitkan peraturan menggunakan bahasa dalam konteks sosio yang berbeza atau tujuan yang pelbagai. Ini termasuklah kebolehan untuk membezakan bagaimana bercakap dan bertingkah laku terhadap rakan perbualan yang berbeza, kebolehan mengekalkan tajuk perbualan dan kebolehan mengekalkan eye-contact yang sesuai (bukan merenung, atau melihat ke tempat lain) ketika perbualan. Peringkat yang keempat ini, berkembang selari dengan perkembangan intelek kanak-kanak dan berkait dengan keupayaannya untuk berfikir mengenai apa yang diperkata atau dilakukan. Jika puan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap anak dan mengenal pasti faktor dan peringkat perkembangan bahasa anak puan dengan kasih sayang dan kelembutan.
- Apabila bercakap dengan anak, sentuhlah dia, serta pandang tepat ke wajah/matanya; gunakan ayat yang pendek dan mudah.
- Apabila mahu menerangkan sesuatu kepada anak, pastikan ada ruang (pause) antara satu ayat dengan yang lain supaya anak anda mendapat peluang untuk memberi maklum atau tindak balas.
- Gunakan mimik muka yang bersesuaian untuk menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat.
- Selalu membacakan buku untuk anak dan meluangkan masa bercerita kepada anak atau menyanyi bersamanya.
- Dedahkan anak kepada interaksi sosial kerana dengan cara ini ibu bapa memberi peluang kepada anak mendengar perbualan di samping berjumpa dengan orang yang baru dikenali.
- Banyak aktiviti seharian dapat digunakan untuk membantu anak bercakap dan mengembangkan keupayaannya menggunakan bahasa antaranya mengemukakan soalan, mengemukakan arahan, mempelajari perkataan-perkataan baru dan bercakap-cakap dengannya.
- Cuba menjadi pendengar yang baik dengan berusaha menumpukan perhatian dan cuba memahami apa yang disampaikan si anak.
- Jika apa yang diucapkannya tidak jelas seperti pelat, jangan sesekali mengulangi sebutannya; sebaliknya bantu anak dengan menyebut perkataan yang tepat sebutannya yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebut anak
- Pelajari gerakan lidah dan bibir. Penggunaan cermin boleh membantu.
Perkongsian ilmu tanpa batasan
Ida Kamilia Mudzakir
No comments:
Post a Comment