Home »

Feb 12, 2014

Panduan keluar beban dari hutang


Sesiapa sahaja tidak dapat lari dan tidak terkecuali daripada menanggung beban hutang sama ada dalam kuantiti yang sedikit atau banyak. Bagi yang bijak menguruskan kewangannya pasti tidak perlu lagi memerah otak dan tenaga berikhtiar untuk menjelaskan hutang yang semakin membelenggu.
Tambahan pula, sebagai bapa yang memegang tanggungjawab besar dalam menguruskan kehidupan seharian dalam sesebuah institusi kekeluargaan, perlulah bijak dalam menguruskan kewangan. Jika sudah berkeluarga, pasti kita tidak dapat lari daripada pelbagai bentuk hutang seperti pembelian kenderaan, perumahan dan kesihatan yang begitu ‘menyempitkan’.

Justeru, perancangan secara sistematik dan terperinci perlu dititikberatkan dalam membuka jalan untuk menyelesaikan hutang yang terkumpul. Di sini terdapat sedikit formula yang boleh dimanfaatkan bagi penghutang yang berhasrat untuk keluar daripada beban hutang dengan cepat:

  1. Berhenti mengumpul hutang tidak baik. Apa sahaja yang anda beli menggunakan kad kredit perlu dibayar dalam jumlah penuh pada setiap hujung bulan. Tiada pengecualian dan alasan bagi anda untuk tidak menjelaskannya. Sebaiknya, lakukan pembelian menggunakan wang tunai daripada menggunakan kad kredit. 
  2. Senaraikan semua hutang anda. Ini termasuklah hutang kad kredit, pinjaman kereta, pendidikan, perumahan dan sebagainya yang telah anda buat selama ini. Semak dengan teliti senarai tersebut dan buat perancangan masa untuk melangsaikannya secara berperingkat. 
  3. Bersebelahan senarai hutang tersebut, buat tiga kolum yang mengandungi jumlah yang dipinjam, bayaran bulanan minimum dan bilangan bulan bagi tempoh bayaran. Pastikan anda mencatatkan segala butir bayaran pada setiap bulan dan bakinya. 
  4. Usaha mencari pendapatan tambahan. Anda mungkin tidak boleh bergantung pada pendapatan tetap bulanan anda semata-mata. Cari alternatif lain untuk menambahkan sumber kewangan anda. Dengan cara ini, lebih memudahkan anda membayar hutang secara seimbang serta tidak menjejaskan kewangan anda. 
  5. Lakukan pembayaran dalam jumlah minimum pada setiap hutang yang telah disenaraikan. Walaupun anda kesempitan wang, jangan tinggalkan pembayarannya dalam tempoh yang lama. Pastikan anda meneruskan pembayaran pada setiap bulan dan jika kewangan anda semakin meningkat maka tingkatkan juga bayaran hutang anda. 
  6. Jika anda mendisplinkan diri dalam membuat pembayaran hutang pada setiap bulan, pasti tempoh masa anda berada dalam kepompong hutang akan semakin pendek. Anda perlulah bijak mengimbangi perbelanjaan, simpanan kewangan dan bayaran hutang dengan baik pada setiap bulan. 
  7. Ucapan tahniah kepada diri sendiri. Jika anda berjaya melangsaikan salah satu daripada hutang-hutang yang telah anda senaraikan, ucapkan tahniah kepada diri sendiri. Ia boleh dikatakan sebagai satu kepuasan yang boleh dinikmati apabila kita bebas daripada bebanan hutang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...